Selasa, 11 November 2008




SEJARAH ASAS KAMPUNG SERI TIRAM JAYA



Kampung Seri Tiram Jaya yang dikenali hari ini adalah berasal dari nama Kampung Tiram Buruk yang telah dibuka pada tahun 1932. Kampung Tiram Buruk sebenarnya terbahagi kepada tiga (3) bahagian iaitu:


  • Kampung Tiram Buruk (Kampung Seri Tiram Jaya sekarang)

  • Kampung Baru Tiram Buruk

  • Kampung Ulu Tiram Buruk


Kampung Tiram Buruk mendapat nama sekitar tahun 1925 di mana ulu kampung ini iaitu di Jalan Raja Musa sekarang terdapat sebuah sungai yang mengandungi banyak tiram yang sudah mati. Keadaan tiram di kawasan itu terlalu usang dan buruk. Ianya terletak kira-kira 7 kilometer dari Kuala Selangor (terdapat dalam lagenda 'Keramat Anak Dara' yang lari dari Bukit Melawati). Kampung ini dibuka oleh orang Melayu ketika itu tetapi terbengkalai di pertengahan jalan menyebabkan ramai orang-orang Jawa datang bekerja di sana dan berjaya membuka tanah di kawasan tersebut.



Oleh kerana kawasan ini terlalu jauh di kawasan pendalaman, ramai penduduk di sana menjual tanah mereka kepada kaum Cina. Orang-orang Jawa kemudiannya telah membuka tanah baru yang dijadikan sawah padi iaitu di kawasan blok U dan X sekarang. Kawasan ini telah dibuka sekitar tahun 1932. Dalam tahun yang sama kawasan kampung bersebelahan sawah padi telah dibuka. Sidang Haji Hussin telah mengetuai pembukaan tanah tersebut dan berhenti sekitar tahun 1935. Sidang Haji Ahmad Marjono mengambil-alih usaha pembukaan tanah-tanah baru ini.



Tidak lama lama kemudian, orang kerajaan telah datang dan bertanya kepada penduduk-penduduk tentang nama kampung tersebut. Memandangkan kebanyakan penduduk berasal dari Kampung Tiram Buruk, maka secara tidak langsung kampung tersebut dinamakan Kampung Tiram Buruk.



Pada tahun 1977, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan pertukaran nama dari Sekolah Kebangsaan Tiram Buruk ke Sekolah Kebangsaan Seri Tiram. Setahun kemudian dalam Mesyuarat Agung PIBG sekolah, YB Datin Paduka Zalehan Ismail, ADUN Permatang yang juga EXCO Negeri Selangor telah menyarankan agar nama kampung juga di ubah kepada nama baru yang kekal hingga ke hari ini iaitu Kampung Seri Tiram Jaya.



Pada 1 Julai 1989, YAB Tan Sri Dato' Muhamad Taib selaku Menteri Besar Selangor telah mengisytiharkan nama kampung yang baru iaitu Kampung Seri Tiram Jaya bersama logo kampung.